Pelaksanaan
Program Sekolah Selamat
Oleh:
Ng Ray Man
Pada tahun 2002, Kementerian
Pendidikan melancarkan Program Sekolah Selamat yang bertunjang satu matlamat
yang jitu, yakni mewujudkan budaya selamat di sekolah dan persekitaran secara
berterusan dengan sokongan keluarga dan komuniti setempat. Secara umumnya,
objektif program tersebut adalah untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan
bahawa keselematan hendaklah dijadikan agenda utama dalam semua aspek
pendidikan di sekolah. Untuk itu, Bahagian Sekolah turut menyediakan buku ‘Konsep
dan Manual Sekolah Selamat’ sebagai panduan pelaksanaan menjadikan sekolah,
komuniti dan keluarga selamat untuk kanak-kanak.
Dalam buku tersebut, aspek manual
untuk pelajar dalam menangani isu keselamatan dalam bidang aktiviti pelajar,
bencana alam, fizikal dan bangunan sekolah, sosial serta persekitaran dan
lokasi sekolah telah dimuatkan. Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Jabatan
Sekolah, Datuk Kusaini Hasbullah berkata bahawa mereka mendapati konsep sekolah
selamat telah pun ada dalam sistem pendidikan formal selama ini. Pada masa yang
sama, lebih daripada 84 peratus daripada keseluruhan 10,000 sekolah rendah dan
menengah telah menjalankan konsep ini secara aktif. Jelasnya bahawa buku
tersebut amat penting sebagai manual pelaksanaan Program Sekolah Selamat.
Bagi melaksanakan Program Sekolah
Selamat, Jawatankuasa Sekolah Selamat (JKSS) perlu ditubuhkan yang
dipengerusikan oleh pengetua atau guru besar sesebuah sekolah. Jawatankuasa
tersebut berperanan menyediakan peraturan dan tanggungjawab pihak lain seperti
komuniti setempat dan keluarga masing-masing. Peraturan atau cara pelaksanaan
tersebut penting agar komuniti setempat, guru-guru, kakitangan sekolah jelas
tentang prosedur menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam usaha
melaksanakan Program Sekolah Selamat. Pada masa yang sama, jawatankuasa
tersebut turut perlu memastikan semua pihak jelas dan sedar tentang isu sekolah
selamat serta melaksana, menilai dan mengkaji semula semua dasar dan prosedur
Sekolah Selamat dari masa ke masa. Seterusnya, salinan peraturan sekolah perlu
disediakan kepada semua pihak berkenaan dan peraturan tersebut hendaklah
dikuatkuasakan dengan bersungguh-sungguh dan tegas. Dengan adanya jawatankuasa
yang berdedikasi, barulah kelancaran program tersebut boleh dijamin.
Selain itu, peranan komuniti
setempat juga memainkan peranan yang penting dalam usaha melaksanakan Program
Sekolah Selamat. Sesungguhnya, program tersebut wajar melibatkan semua ketua
masyarakat yang berperanan merapatkan jurang golongan muda dengan warga tua.
Tambahan pula, masyarakat setempat mestilah memberi sokongan yang sepenuhnya
kepada sekolah atas semua polisi dan peraturan yang telah ditetapkan. Mereka
juga boleh memberi sumbangan kepada pihak sekolah dari segi idea yang bernas
dan kepakaran masing-masing dalam meningkatkan kawalan keselamatan sekolah.
Cara untuk mengenal dan menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan keselamatan
sekolah juga boleh disumbangkan kepada pihak sekolah. Di samping itu, pemimpin
agama turut haruslah menerapkan nilai-nilai spiritual dalam diri generasi muda.
Seterusnya, komuniti setempat juga boleh melibatkan diri secara aktif dalam
aktiviti yang berkaitan dengan isu keselamatan sekolah serta mewujudkan sistem
pemantauan kawasan sekitar sekolah bagi mencegah kejadian jenayah. Jika
masyarakat setempat memainkan peranan masing-masing, keselamatan sekolah sudah
pasti akan dapat ditingkatkan lagi.
Selepas itu, peranan ibu bapa juga
tidak kurang pentingnya dalam melaksanakan Program Sekolah Selamat. Golongan ibu
bapa perlulah sentiasa memberikan sokongan yang sepenuhnya kepada pihak sekolah
terhadap segala polisi, rancangan dan peraturan yang telah ditetapkan. Mereka
wajar bersikap proaktif dalam semua aktiviti sekolah dan komuniti yang
berkaitan dengan program tersebut. Pada masa yang sama, nilai-nilai agama dan
moral perlu disemaikan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi kerana melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Komunikasi antara ibu bapa dengan anak-anak perlu
dijalankan secara aktif dan ibu bapa perlu sentiasa mengenali rakan anak-anak
supaya dapat memastikan mereka tidak bergaul dengan rakan yang boleh merosakkan
peribadi serta jati diri anak mereka. Sinergi antara ibu bapa dengan ibu bapa
yang lain adalah penting dalam menyertai pertubuhan yang boleh membantu
membanteras kegiatan jenayah dari masa ke masa. Dengan adanya kerjasama
daripada pihak ibu bapa, program keselamatan sudah tentu akan berjaya
dilaksanakan.
Walaubagaimanapun, selepas beberapa
tahun Program Keselamatan Sekolah dijalankan, masyarakat masih digemparkan
dengan insiden-insiden yang memalukan dan berlawanan arus dengan usaha
bersungguh-sungguh banyak pihak untuk menjadikan negara sebagai pusat kecemerlangan
pendidikan. Kejadian ‘membelasah’ dan bergaduh sering tercetus antara pelajar,
khususnya pelajar di sekolah menengah berasrama sehingga mengakibatkan
kecederaan serius. Hal ini ternyata bukan lagi boleh dipandang ringan sebagai
sekadar kenakalan budak hingusan. Sebagai contohnya, adik Mohd Hafizi Jumhari
yang berumur enam belas yang mengambil kejuruteraan mekanikal di Sekolah
Menengah Teknik Batu Pahat dilaporkan terpaksa dibuang buah pinggang kirinya
selepas dipercayai dibelasah oleh sekumpulan pelajar senior di asrama.
Tepuk dada tanyalah selera, adakah
dengan kes gejala disiplin sedemikian secara tidak langsung menunjukkan bahawa
Program Sekolah Selamat kurang efektif? Menurut Datuk Kusaini, sekolah tidak
patut dipersalah atas kejadian tersebut kerana dalam zaman era globalisasi ini,
masyarakat yang mengejar kemajuan serta pembangunan semata-mata telah
menyebabkan sebilangan golongan masyarakat terseleweng. Pada hari ini, pihak
guru berada dalam keadaan ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa. Hal ini
kerana apabila guru bersikap lepas tangan terhadap salah laku pelajar,
kewibawaan dan komitmen mereka sebagai pendidik pasti dipertikaikan. Pada masa
yang sama, sekiranya guru menjalankan hukuman disiplin terhadap pelajar pula
terdedah kepada risiko diserang balik ataupun diambil tindakan mahkamah oleh
ibu bapa. Maka pihak sekolah tidak wajar menjadi satu-satunya pihak yang
dipersalah.
Intihannya, sekolah yang selamat
perlulah diwujudkan bagi memastikan warganya terhindar daripada segala bahaya
dan ancaman yang bersifat fizikal, mental, emosi mahupun psikologikal yang
boleh menggugat keberkesanan proses pendidikan di sekolah. Untuk itu, aspek
keselamatan seperti struktur fizikal, trafik, makanan, bangunan, padang,
kesihatan, disiplin dan tingkah laku perlu dititikberatkan oleh seluruh warga
sekolah seperti pengetua, guru, pelajar, ibu bapa dan PIBG, pihak berkuasa Kementerian
Pelajaran, ahli komuniti termasuk pertubuhan kerajaan mahupun bukan kerajaan
(NGO) melalui strategi perancangan dan pelaksanaan yang dilakukan secara
berterusan dari masa ke masa.
Oleh,
Ng Ray Man
04 Jun 2013
No comments:
Post a Comment