Monday, 8 July 2013

MAJLIS PELANTIKAN & MAJLIS ‘PERSARAAN’ LEMBAGA PENGAWAS

MAJLIS PELANTIKAN & MAJLIS ‘PERSARAAN’ LEMBAGA PENGAWAS
SEK. MEN. KEB. GUNUNG RAPAT, IPOH

           
--Nostalgia 14 Jan 2013--
Memberi ucapan setelah
dilantik sebagai Ketua Umum 2013
 Pada tanggal 8 Julai 2013, terdapat satu majlis yang telah berlangsung di Dewan Olimpik Sek. Men. Keb. Gunung Rapat, Ipoh, yakni Majlis Pelantikan Lembaga Pemimpin Murid Sesi 2013/2014. Tarikh ini amat bermakna buat seluruh warga sekolah, khususnya Exco Tertinggi Lembaga Pengawas Sesi 2012/2013 dan Exco Tertinggi Lembaga Pengawas Sesi 2013/2014. Barisan Exco Tertinggi Lembaga Pengawas Sesi 2013/2014 telah pun dibentuk dan dilantik pada hari tersebut. Maka, barisan Exco Tertinggi Sesi 2012/2013 yang telah saya terajui sebagai Ketua Umum/Ketua Pengawas, saudari Azimah bt Md Khalid dan saudari Fatin Farhani bt Aminuddin sebagai Penolong Ketua Umum I dan II serta Exco-exco lain akan ‘bersara’ tidak lama lagi. Perkataan ‘bersara’ ini mungkin tidak seberapa sesuai untuk menyifatkan keadaan ini. Kendatipun, pada hemat saya, dalam konteks ini perkataan ‘bersara’ membawa maksud tanggungjawab yang kami pikul telah dijalankan hampir sepenuhnya sepanjang sesi ini. Walaubagaimanapun, seperti yang telah disebutkan oleh Puan Hajah Norol Kamar bt Nordi, Penolong Kanan Pentadbiran SMKGR dalam ucapannya pada pagi ini setelah menyerahkan watikan pelantikan kepada para pemimpin murid yang baru, sekiranya para pengawas mahupun Exco Tertinggi 2013/2014 memerlukan sebarang bantuan, nasihat dan tunjuk ajar, kami tetap sentiasa bersedia membantu.


-Nostalgia 14 Jan 2013-
Ng Ray Man sebagai Ketua Umum
sedang memimpin bacaan ikrar
pada hari pelantikan
            Untuk itu, izinkan saya, sebagai Ketua Umum untuk menyuarakan serba sedikit pengalaman, isi hati dan juga harapan saya buat Lembaga Pengawas Sek. Men. Keb. Gunung Rapat ini yang telah banyak meninggalkan memori kepada saya dan rakan sekalian. Sebelum saya dilantik sebagai Ketua Umum (14 Jan 2013), saya berasa bahawa bahu saya akan menjadi lebih berat. Walaubagaimanapun, setelah dimaklumkan bahawa Exco Tertinggi untuk sesi 2013/2014 akan dilantik pada hari ini, bahu saya telah menjadi lebih ringan, tetapi HATI pula yang menjadi berat. Saya tidak boleh menafikan bahawa bukan mudah untuk menyandang jawatan sebagai Ketua Umum/Ketua Pengawas, apatah lagi dapat diberi peluang serta kepercayaan untuk memegang jawatan tersebut. Setiap saat sebelum dan selepas dilantik sebagai Pengawas Percubaan (2009), Pengawas Tetap (2010-2011), diikuti dengan Penolong Ketua Pengawas (2012) dan Ketua Umum/Ketua Pengawas (2013) masih jelas dalam ingatan saya.


Ng Ray Man yang berada di
Tingkatan 1 (2009)
           
             Pada tahun 2009, telah saya menjejak langkah yang pertama di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat yang bergelar sebagia Sekolah Kluster Kecemerlangan & Sekolah Sukan Negeri. Dalam masa sebulan dua, saya berpeluang mengenali Ketua Umum, Penolong Ketua Umum dan pengawas-pengawas senior yang lain. Tiada perkataan yang boleh menggambarkan betapa bersemangatnya saya untuk menjadi pengawas sekolah. Sebaik sahaja pemohonan untuk menjadi pengawas sekolah telah dibuka pada pertengahan tahun, saya telah berjumpa dengan Guru Disiplin, Puan Zumeme bt Muhammad untuk mendapatkan borang pemohonan. Tidak lama lagi, saya telah dipanggil untuk menghadiri Sesi Temu Duga. Soalan-soalan yang ditanya oleh guru semasa sesi temu duga memang tidak dapat saya sangka. Pada mulanya soalan yang ditanya oleh Cikgu Ahmad Ensar agak biasa, seperti “Sebab-sebab ingin menjadi pengawas sekolah dan memperkenalkan diri anda”. Selepas itu, soalan-soalan yang agak saya terkejut termasuklah “Apakah binatang kesayangan andadan “Apakah binatang peliharaan anda”. Walaubagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana dipilih menjadi pengawas percubaan selama beberapa bulan. Setelah berjaya menjadi Pengawas Tetap, kami dimaklumkan bahawa Blazer Pengawas akan diperoleh pada bulan Disember nanti. Saya masih ingat bahawa saya dan juga sahabat karib, Shoban a/l Sevam merupakan orang yang pertama untuk pergi ke kedai menempah blazer untuk mendapatkan blazer kami. Walaupun hal ini mungkin agak luar biasa dalam kalangan rakan-rakan lain, tetapi mungkin boleh saya sifatkan sebagai semangat kami yang tinggi untuk memegang jawatan sebagai Pengawas sekolah.


Wajah saya semasa berada
di Tingkatan 2 (2010)
             Selama dua tahun (2010-2011) menyandang jawatan sebagai pengawas biasa, saya telah ditawarkan untuk menjawat jawatan Exco Tertinggi Lembaga Pengawas. Cikgu Zumeme telah meminta agar saya menghantarkan resumé semasa cuti sekolah. Pada tahun 2012, telah saya dilantik sebagai Penolong Ketua Umum (Penolong Ketua Pengawas). Di bawah pimpinan Ketua Umum 2012, saudara Suminder Singh a/l Dalgit Singh & Penolong Ketua Umum, saudari Anith Syazlin bt Ramli, banyak perkara telah saya pelajari sepanjang tahun tersebut.

Menerima Watikah Pelantikan
sebagai Ketua Umum daripada
Puan Pengetua,
Pn Rahimah Mohamed
(14 Jan 2013)

              Secara ringkasnya, pada bulan Julai 2012, barisan Exco Pelapis/Pembantu Exco sesi 2012/2013 telah pun dilantik. Saya turut dilantik sebagai Ketua Pembantu Exco. Seterusnya, pada awal tahun ini (2013), saya telah dilantik sebagai Ketua Umum/Ketua Pengawas sesi 2013 pada tanggal 14 Januari 2013.



Ng Ray Man sebagai Ketua Umum
sedang memimpin bacaan ikrar
(14 Jan 2013)

           Selaku Ketua Umum 2013, izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Guru-guru Disipin—Encik Halilul Rahman, Puan Zumeme Muhammad, Puan Nalilawati Isa, Encik Narindar, guru-guru lain, Penolong Ketua Umum- saudari Azimah & saudari Fatin, Setiausaha- Batrisyia Alya, Pen. Setiausaha- Puteri Izzaireen, Bendahari- Tong Yin Syuen, Pen. Bendahari- Shoban a/l Sevam, Exco Perhimpunan- Kamal Irfanuddin, Exco Teknikal & Protokol- Mohendra Prasad Naidu, Exco Block- Shalinder Singh, Exco Kantin- Farzana Aqeela, Exco Trafik- Adib Aiman serta Exco Tugas-tugas khas & Kebajikan- Chang Yi Neng. Tidak lupa juga rakan-rakan pengawas yang lain, terima kasih atas segala komitmen dan sinergi yang telah kalian berikan selama ini. Banyak perkara yang telah saya pelajari daripada kalian. Di sini, saya juga ingin menyusun sepuluh jari sebagai tanda memohon ampun dan maaf kepada anda semua sekiranya terdapat sebarang kesilapan dan sesiapa yang mungkin pernah tersinggung perasaan selama ini.

Memberi ucapan setelah
dilantik sebagai Ketua Umum 2013
            Masa berlalu dengan amat pantas. Setelah kurang lebih 5 tahun saya berkhidmat sebagai Ketua Pengawas (2013), Penolong Ketua Pengawas (2012), Ketua Pembantu Exco (2012), Pengawas sekolah (2010-2011) serta Pengawas Percubaan (2009), memang banyak pengalaman yang telah saya timba. Harapan saya terhadap Lembaga Pengawas cuma ada satu sahaja, iaitu Lembaga Pengawas SMKGR dapat menjadi lebih cemerlang, gemilang dan terbilang pada masa yang akan datang. Semoga Exco Tertinggi Sesi 2013/2014 yang diterajui oleh saudara Mohd Affan bin Affendi sebagai Ketua Umum, saudari Afiqah Aimi dan saudara Ikhmal Ramli (Penolong Ketua Umum) akan memimpin seluruh Lembaga Pengawas Sekolah ke arah yang lebih cemerlang. Pada masa yang sama, kepada rakan pengawas yang akan menghadapi Peperiksaan Awam (PMR & SPM) tidak lama lagi, marilah kita sama-sama berusaha untuk melakarkan keputusan yang cemerlang!

Akhir sekali, izinkan saya berkongsi serangkap pantun yang agak popular dengan kalian:-
Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan di dalam peti;
Kalau ada silap dan salah,
Jangan disimpan di dalam hati.

Dengan itu, Selamat Maju Jaya dan Salam Ceria.

Bergambar kenangan dengan Guru Disiplin & Ketua Umum 2012
Dari kiri: Suminder Singh (K.U. 2012), Puan Zumeme (Guru Disiplin) & Ng Ray Man (Ketua Umum 2013)


Ikhlas daripada,
NG RAY MAN
Ketua Umum 2013,
Sek. Men. Keb. Gunung Rapat

(08 Julai 2013)

2 comments:

  1. rayman,u makin chubby.hahahaha

    ReplyDelete
  2. Haha, ya? Bagus lah kalau begitu. Dulu terlalu kurus agaknya. :) Tetapi saya berasa saya telah menjadi semakin 'tua' dari segi rupa paras. Hehe.

    ReplyDelete