Fenomena Jerebu Ancaman Global
Oleh: Ng Ray Man
Dasarwasa ini, masyarakat Malaysia dan negara-negara
jirannya seperti Indonesia, Singapura dan Thailand telah menghadapi ancaman
yang disebabkan oleh jerebu yang melanda. Jerebu yang dimaksudkan disebabkan
oleh pembakaran yang berlaku di Tenggara Sumatera, Indonesia. Asap dan jerebu
tebal akibat pembakaran tidak terkawal di Indonesia telah menyelubungi hampir
kesemua negeri di Malaysia dan Singapura. Misalnya, pada 23 Jun 2013, Indeks
Pencemaran Udara (IPU) di Muar telah mencatatkan angka yang amat merisaukan dan
membahayakan, yakni bacaan sebanyak 746. Seperti yang kita sedia maklum,
bencana jerebu baru-baru ini telah menimbulkan pelbagai masalah kepada
masyarakat termasuk menyebabkan pihak berkuasa menutup sekolah. Sehingga hari Isnin, 24 Jun 2013,
sebanyak 227 sekolah di kawasan berkenaan yang membabitkan bilangan pelajar
sebanyak 174, 553 pelajar terpaksa ditutup. Lantaran, hal ini telah
menyebabkan beberapa kejohanan sukan besar seperti Karnival Ragbi 2013 Johor
turut terpaksa ditangguhkan kerana masalah kualiti udara yang sangat teruk dan
Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohammad Najib bin Tun Abdul Razak
terpaksa mengisytiharkan darurat di Muar dan Ledang.
Secara umumnya, jerebu merupakan satu fenomena tradisi atmosfera di mana debu, habuk, asap dan lain-lain zarah mencemar kejelasan langit. Fenomena ini biasanya terjadi
jika zarah, debu dan asap berkumpul pada hari yang kering. Sumber partikel
jerebu termasuk pertanian seperti membaja semasa cuaca kering, lalu lintas,
industri dan kebakaran hutan, kebakaran gambut, pembakaran terbuka serta asap
perindustrian dan kenderaan. Sesungguhnya, fenomena ini telah memberi ancaman
kepada seluruh dunia dari segi fizikal mahupun emosi. Menurut sebuah kajian
yang telah dilakukan oleh pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia, Teoh
Hsien-Jin dan Tan Kai Ling, dari segi emosi, fenomena jerebu menyebabkan
masyarakat berasa runsing, keliru, kekurangan tenaga, ketakutan dan tidak ingin
melakukan sebarang kerja. Dari segi fizikal pula, kejadian jerebu telah
menyebabkan masyarakat menghadapi kegatalan atau mata merah, selesema, sakit
kepala, demam, rasa ingin muntah dan sakit kerongkong. Jelaslah bahawa fenomena
jerebu mendatangkan pelbagai keburukan kepada masyarakat sedunia, khususnya
dari segi ekonomi, sosial mahupun alam sekitar.
Pertama sekali, fenomena
jerebu akan mendatangkan impak yang buruk kepada masyarakat global dari segi
ekonomi. Masalah jerebu ini secara langsungnya mendatangkan kesan yang
signifikan kepada pelancongan, perniagaan dan penanaman. Apabila terdapat
kandungan partikel zarah yang melampau di udara, warna lapisan atmosfera akan
bertukar menjadi warna perang. Hal ini akan menjejaskan penglihatan sehingga
mengakibatkan penerbangan terpaksa dibatalkan. Menurut Universiti Malaysia
Terengganu, kejadian jerebu telah mengurangkan bilangan pelancong asing dan
perkara tersebut telah mendatangkan kerugian sebanyak 9.3 juta dolar Amerika
Syarikat kepada sektor pelancongan di negara-negara Asia Tenggara. Pada tahun
2005, kejadian jerebu telah menyebabkan pelbagai kerja di pelabuhan terpaksa
ditangguhkan bagi menjamin kesihatan para pekerja di kawasan berkenaan. Maka,
kejadian jerebu tersebut sudah tentu akan membawa keburukan kepada sektor
perniagaan dalam jangka masa panjang. Di rantau Asia, kesan yang paling buruk
berlaku pada tahun 1997 hingga tahun 1998 yang menyebabkan negara Indonesia
menghadapi kekurangan sumber makanan dan seterusnya membawa kesan secara
langsung kepada kegiatan ekonomi. Pendek kata, masalah jerebu akan mendatangkan
masalah kepada sektor ekonomi global.
Selain itu, kejadian
jerebu turut mendatangkan pelbagai kesan yang buruk kepada masyarakat sejagat
dari segi sosial. Masyarakat terpaksa mengurangkan aktiviti di luar kawasan
rumah dan dinasihatkan untuk memakai topeng semasa berada di kawasan luar. Golongan
masyarakat, khususnya kanak-kanak dan warga emas mudah terjangkit dengan
penyakit-penyakit kronik seperti asma, bronkitis, pneumonia dan masalah sistem
pernafasan. Seperti yang kita sedia
maklum, banyak sekolah terpaksa ditutup disebabkan oleh masalah jerebu yang
kritikal. Hal ini sudah pasti akan menjejaskan proses pengajaran dan
pembelajaran (PdP) di sekolah. Lantaran, masalah jerebu yang disebabkan oleh
pembakaran terbuka di Indonesia telah menjejaskan hubungan diplomatik antara
negara lain dengan negara Indonesia. Seterusnya, kemudahan komunikasi turut
akan menghadapi masalah dan masalah pergerakan dari satu kawasan ke kawasan
lain turut akan terjejas disebabkan oleh masalah penglihatan. Tuntasnya, dari
aspek sosial, fenomena jerebu telah mendatangkan pelbagai impak buruk.
Di samping itu, kejadian
jerebu juga akan mendatangkan implikasi yang tidak baik kepada alam sekitar.
Zarah-zarah partikel jerebu sudah tentu akan mencemarkan kawasan perairan.
Komponen yang beracun dan berbahaya akan memberi ancaman kepada kehidupan
akuatik apabila hujan berlaku. Perkara tersebut sudah tentu akan menyebabkan
ketidakseimbangan ekosistem sejagat. Tambahan pula, negara-negara seperti
Iceland dan Mexico telah menghadapi masalah jerebu apabila berlakunya letusan
gunung berapi. Letusan gunung berapi akan melepaskan gas-gas bertoksik yang
mengandungi sulfur dioksida yang seterusnya bergabung dengan wap air akan
menyebabkan terjadinya asid sulfurik. Asid tersebut akan menjejaskan pancaran
matahari dan hal ini sudah tentu akan membawa masalah kepada pertumbuhan flora
dan fauna di masyarakat sedunia. Maka, jelaslah bahawa alam sekitar akan
diancam oleh masalah jerebu ini.
Sudah terang lagi
bersuluh, kejadian jerebu mendatangkan pelbagai kesan yang buruk kepada
masyarakat sedunia. Oleh hal yang demikian, langkah-langkah perlu diambil bagi
mengatasi masalah ini. Kendatipun, pepatah orang Melayu ada berkata, ‘yang
bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang’. Untuk
memastikan masalah ini dapat diatasi, sinergi daripada semua pihak memainkan
peranan yang penting. Oleh itu, seperti yang telah diseru oleh Datuk Seri G.
Palanivel, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, segenap lapisan masyarakat
perlu kurangkan aktiviti di luar kawasan rumah dan mengelakkan sebarang
kegiatan yang boleh mencemarkan udara seperti pembakaran terbuka. Hal ini
adalah penting supaya kesihatan masyarakat terjamin dan generasi muda pada masa
hadapan tidak akan menghadapi ancaman kesihatan. Pada masa yang sama, masalah
tersebut perlulah dibendung serta-merta agar kesejahteraan sejagat terjamin.
NG RAY MAN
28 JUN 2013
No comments:
Post a Comment